SIBU, 15 November: Gerakan koperasi di Sarawak perlu lebih berani meneroka peluang perniagaan baharu dengan memanfaatkan potensi sumber ekonomi tempatan bagi memperluas penyertaan dalam sektor berkenaan.
Ketua Masyarakat Melayu Melanau, Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce Mohammad berkata, sektor koperasi mempunyai ruang pertumbuhan yang luas sekiranya diusahakan dengan kesungguhan, keyakinan dan kesediaan untuk mencuba pendekatan berbeza.
“Bidang koperasi mempunyai potensi yang sangat besar. Sekiranya kita bekerja keras, mempunyai keyakinan dan kesungguhan, saya percaya kita mampu mencapai kejayaan,” katanya ketika berucap pada Kenyalang Coop Festival 2026 di perkarangan ANGKASA Wilayah Sibu, di sini, hari ini.
Menurutnya, Sarawak mempunyai pelbagai sumber semula jadi termasuk hasil sungai, perikanan dan pasir yang boleh dimanfaatkan untuk menjana aktiviti ekonomi, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan muda merebut peluang dalam sektor pertanian, pelancongan, pembinaan, perikanan dan pemprosesan hasil tempatan, selain meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi merancakkan aktiviti ekonomi negeri.
Sementara itu, Pengerusi ANGKASA Sarawak, Wan Azizan Wan Zainal Abidin berkata, kekuatan gerakan koperasi terletak pada semangat kebersamaan, kepercayaan dan kesediaan anggota menggabungkan sumber serta kepakaran bagi mencapai matlamat ekonomi bersama.
“Koperasi dibina atas kepercayaan dan usaha anggota yang bergabung untuk mencapai matlamat ekonomi bersama. Sebab itu kita mahu koperasi terus berkembang sebagai organisasi perniagaan yang kukuh dan diurus secara profesional,” katanya.
Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2025, Sarawak mempunyai 1,212 koperasi dengan keanggotaan seramai 323,122 orang, manakala jumlah aset mencecah RM718.59 juta dan perolehan keseluruhan sebanyak RM486.92 juta.
Menurutnya, kekuatan tersebut perlu dimanfaatkan melalui kerjasama lebih erat antara koperasi, khususnya dalam membentuk rantaian perniagaan yang menghubungkan pengeluaran produk, pemasaran, pengumpulan dan pengedaran bagi memperluas akses kepada pasaran.
Beliau berharap Kenyalang Coop Festival dapat menjadi platform untuk mempertemukan koperasi, memperluas jaringan perniagaan dan membina kerjasama strategik, selain menggalakkan penggunaan teknologi digital, amalan tadbir urus yang baik serta penyertaan lebih ramai golongan muda dan wanita bagi memperkukuh sumbangan gerakan koperasi terhadap pembangunan ekonomi Sarawak.
Oleh Tarani Lanting





