DEBAK, 15 November: Seramai 1,156 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas berjaya memperoleh lesen memandu motosikal Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026.
Majlis penyerahan lesen kepada peserta berlangsung di Dewan Perpaduan Debak hari ini dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, kesemua peserta berjaya memperoleh lesen selepas melepasi tapisan serta menyelesaikan ujian teori dan praktikal yang ditetapkan.
Program itu merupakan hasil kerjasama antara Pusat Khidmat N.35 Saribas, JPJ Sarawak dan Pusat Memandu Betong Sdn. Bhd. bagi membantu masyarakat mendapatkan lesen memandu yang sah.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja membuka peluang kepada penduduk untuk memiliki lesen memandu secara sah, malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya, khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam serta Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili.
Dalam pada itu, JPJ Sarawak merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan.
JPJ Sarawak berharap lesen yang diterima dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh peserta dengan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan sikap bertanggungjawab serta mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal.
Oleh Adi Safarman



