PETRA JAYA: Sebanyak 398,942 permohonan bantuan untuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) diterima setakat semalam.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohd Abu Bakar Marzuki berkata, jumlah itu adalah kira-kira 45 peratus daripada jumlah sasaran.
“Bantuan kewangan yang disalurkan melalui kaedah digital itu dijangka akan memanfaatkan lebih 850,000 penerima khusus buat anak Sarawak.
“Penerima bantuan SKAS ini termasuk anak Sarawak yang telah menerima Bantuan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4.
“Dengan nilai keseluruhan sebanyak RM450 juta, bantuan ini disalurkan melalui aplikasi SPay Global, membolehkan rakyat membeli barangan keperluan asas makanan secara terus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana YAB Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Mohd Abu Bakar juga meminta semua pihak bersama-sama berganding bahu dalam satu pasukan untuk mengapai dan mencapai impian kerana 2025 sudah pastinya akan menjanjikan lebih banyak kejayaan untuk semua.
Selain itu katanya, penjawat awam Sarawak terus komited dalam melaksanakan tugas demi membantu rakyat selaras dengan matlamat negeri ini terus maju dan makmur menjelang 2030.
Beliau berkata pada 2024 menyaksikan banyak kejayaan dan pencapaian yang dilakukan oleh barisan perkhidmatan awam negeri.
“Kebajikan penjawat awam di Sarawak akan terus dijaga dan diberi sokongan penuh oleh kerajaan negeri melalui inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini.
“Inisiatif seperti bantuan khas dua bulan yang diberikan pada Disember lalu dan kelulusan elaun bulanan tambahan bermula tahun ini adalah bukti penghargaan kerajaan Sarawak terhadap dedikasi dan sumbangan kita sebagai penjawat awam Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa kerajaan Sarawak juga telah meluluskan banyak penambahbaikan dan inisiatif
baharu dalam Perkhidmatan Awam Sarawak pada 2024.
Ini termasuk penambahbaikan kemudahan Skim Pinjaman Perumahan dan Kenderaan, meluluskan pembinaan kuarter penjawat awam baharu di pelbagai lokasi di seluruh negeri, kemudahan cuti tanpa rekod hari Deepavali dan seumpamanya.
Beliau berkata Premier Sarawak juga sentiasa memberi sokongan dengan menghantar ketua jabatan dan pegawai untuk menghadiri latihan di dalam dan di luar negara.
Oleh Noor Ikmal