BATU NIAH: Pertandingan Kaligrafi Cina mampu memberi peluang kepada mana-mana kaum yang berminat untuk mempelajari tulisan Cina.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus berkata, penganjuran pertandingan ini menunjukkan perpaduan kaum kerana para peserta yang terlibat turut terdiri di kalangan Bumiputera.
“Penyertaan di kalangan kanak-kanak Bumiputera di kawasan ini juga memberi peluang kepada mereka untuk menunjukkan kemahiran seni dan kebolehan dalam menghasilkan tulisan (kaligrafi).
“Inilah contoh budaya hidup bertoleransi di dalam masyarakat di samping memelihara tulisan seperti ini agar tidak ditelan zaman,” katanya.
Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Bekenu berkata demikian ketika berucap pada perasmian Pertandingan Kaligrafi Cina anjuran Persatuan Penganut Buddha Batu Niah di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chee Mung, hari ini.
Tambahnya, pertandingan ini juga melambangkan seni kesabaran, dan nilai diri dalam membentuk disiplin di dalam diri seseorang individu.
“Usaha ini hendaklah diteruskan pada setiap tahun dan diterapkan kepada kanak-kanak baru kita.
“Semoga juga acara ini akan dapat diadakan pertandingan ke peringkat yang lebih tinggi kelak,” jelasnya lagi.
Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Penganut Buddha Batu Niah Kaunselor Chong Tet Fat, Penghulu Pui Kuan Phen dan para kapitan kawasan Batu Niah dan Sepupok.
Oleh Adum Liu