SEBUYAU: Kerajaan Sarawak sentiasa peka dengan keperluan rakyat terutamanya di luar bandar untuk menyediakan kemudahan asas yang mencukupi kepada masyarat tempatan.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, banyak projek pembangunan di dalam kawasan Sebuyau telah diluluskan di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Semua projek yang telah diluluskan akan dilaksanakan melalui proses yang telah ditetapkan dan ini menunjukkan Sarawak sentiasa berusaha memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Manakala peruntukan sebanyak RM400,00 untuk membina jalan raya dalam Kampung Sangki Melayu ini telah siap tahun lepas,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata demikian dalam lawatan kerja di Kampung Sangki Melayu Sebuyau baru-baru ini.
Menurutnya, permohonan penduduk Kampung Sangki agar sebuah surau didirikan dikampung tersebut serta program penanaman cili secara komersial akan dipertimbangkan untuk kelulusan kerajaan.
Kampung Sangki Melayu merupakan sebuah kampung baharu yang terletak di bawah jagaan Ketua Kaum Kampung Masjid Sebuyau Abang Sepawi Abang Junaidi.
Penduduk kampung yang mempunyai 18 buah rumah dan keluarga ini telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan sendiri bagi memudahkan pengurusan kampung tersebut.
Aktiviti pertanian seperti penanaman kelapa sawit, cili, nanas dan menternak lembu merupakan antara aktiviti utama penduduk di sini.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sebuyau, Ajis Ahmad dan Penghulu Seman Suhaili.