KUCHING: Warga Sarawak yang telah mendarat petang kelmarin telah dikuarantin selama 14 hari seperti yang diarahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Tiga warga Sarawak berkenaan yang terkandas di Nigeria tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching jam 2.30 petang dan terus dibawa oleh JPAM ke tempat dikuarantinkan.
Salah seorang daripada mereka berasal dari Sri Aman berkata, warga Sarawak yang terkandas tiba berasingan kerana penerbangan yang diambil adalah tidak sama.
Beliau berasa bersyukur kerana sudah sampai ke kampung halaman manakala yang lain akan mengambil penerbangan ke Sibu.
Kumpulan yang tiba di Kuching akan dikuarantin di sebuah hotel di Riverside.
Seramai 33 warga Malaysia yang mana 12 adalah dari Sarawak mengambil penerbangan balik ke sini pada 22 Jun lalu setelah terkandas di Nigeria selama beberapa bulan.
Mereka mengambil penerbangan transit ke Dubai sebelum ke Kuala Lumpur pada 24 Jun.
Setibanya di Kuala Lumpur, kesemua mereka telah disaring bagi mengesan wabak Covid-19 dan kesemuanya dari Sarawak mengambil penerbangan balik kelmarin.
Oleh Connie Chieng