KUCHING: Jerayawara Perumahan dan Hartanah 2025 (HPR2025) anjuran Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) menyediakan tempat sehenti untuk masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan perumahan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan I (Kesihatan Awam dan Perumahan), Datuk Penguang Manggil berkata jerayawara itu juga menyediakan banyak pilihan kepada bakal pembeli rumah.
“Seperti yang kita lihat jerayawara ini melibatkan pemaju yang mengambil bahagian untuk mempamerkan produk mereka, terutamanya perumahan dan pangsapuri di dalam dan sekitar Kuching dan tempat lain di Sarawak.
“Jadi ini dilakukan sejajar dengan objektif untuk memberi kesedaran kepada orang ramai dan mungkin selain menawarkan lebih banyak pilihan kepada pembeli rumah tentang jenis rumah yang mereka ingin beli terutamanya golongan muda dan penduduk di kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan HPR2025 di pusat beli-belah Aeroville di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, menurutnya jumlah pembinaan rumah jenis pangsapuri yang semakin meningkat di Kuching menjadi salah satu langkah baik yang diambil pihak pemaju dalam menangani kenaikan kos harga tanah.
“Jadi saya rasa ini satu cara ke hadapan yang mungkin boleh kita guna pakai dalam masa terdekat yang boleh menawarkan lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan muda dan pembeli rumah di kawasan bandar.
”Hal ini kerana harga rumah kini semakin tinggi jika dibandingkan dengan bayaran gaji mereka selain mengambil kira kos sara hidup yang telah meningkat,” tambahnya.
Jerayawara itu diadakan bermula semalam hingga esok dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam di aras bawah pusat beli-belah Aeroville, di Kuching.
SHEDA dalam satu kenyataan memberitahu jerayawara yang bertemakan Sambutan Tahun Baharu China itu sarat dengan peluang untuk pengunjung memenangi angpau yang penuh dengan baucar, hadiah istimewa dan wang tunai.
Turut hadir ialah Pengerusi Penganjur HPR2025 Peter Pau Kiu Sung, Pengerusi SHEDA Kuching Dato Bobby Ting, Timbalan Pengerusi SHEDA Kuching Peter Lau Hui Han, Presiden SHEDA Augustine Wong, Timbalan Presiden SHEDA Louis Ting, Bendahari Steven Tan dan Penolong Bendahari Steven Au.