KUCHING, 26 Oktober: Sekurang-kurangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka mengundur diri atas sebab kesihatan.
Sumber memberitahu Utusan Sarawak, seorang daripadanya mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan seorang lagi dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
“Tetapi ada seorang lagi dari PBB yang dikatakan ‘kurang sihat’ dan perlu dipertimbangkan semula pencalonannya.
“Namun, keputusan muktamad tetap di tangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” kata sumber itu yang rapat dengan kepemimpinan tertinggi GPS/PBB.
Satu lagi sumber memberitahu, ada seorang dua Adun yang pernah menyatakan mahu bersara selepas pilihan raya negeri (PRN) lalu tetapi kini membuat rayuan untuk terus bertanding.
“Dengar cerita ada seorang dua wakil rakyat yang sejurus selepas PRN 2021 dulu kata… ini adalah penggal terakhir baginya.
“Tetapi tiba-tiba seperti ‘merayu atau memohon’ untuk dicalonkan semula,” katanya.
Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada Abang Johari selaku Pengerusi GPS dan Presiden PBB.
Ketika ditemui wartawan selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu, Abang Johari berkata akan ada ADUN tidak bertanding semula.
Beliau menjelaskan bahawa keadaan itu bukan berpunca daripada keputusan menggugurkan calon, sebaliknya terdapat individu yang memilih untuk mengundur diri.
“Bukan digugurkan, ada yang mengundur diri,” katanya.
Katanya, perincian mengenai senarai calon GPS akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat gabungan itu, sebelum satu sidang media diadakan untuk mengumumkan perkembangan lanjut.
Namun katanya, GPS bakal menampilkan gabungan calon berpengalaman dan golongan muda pada PRN Sarawak ke-13 nanti, selain mengesahkan terdapat individu yang memilih untuk mengundur diri daripada menjadi calon.
Pada PRN Sarawak ke-12 pada 18 Disember 2021, GPS mengetengahkan 24 muka baharu termasuk lapan mewakili PBB daripada keseluruhan 82 calon yang bertanding, merangkumi hampir 30 peratus daripada senarai calonnya.
Oleh Kadir Dikoh





