BINTULU: Sebanyak 428 kenderaan diperiksa dalam Ops Cahaya yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bintulu di Jalan Kidurong hari ini.
Hasil operasi, 34 notis arah periksa dikeluarkan di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi kadar ketelusan cahaya yang dibenarkan.
Selain itu, 22 notis tidak patuh turut dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan lain seperti lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tidak sah, dan pengubahsuaian kenderaan.
Menurut satu kenyataan, operasi itu diketuai Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sarawak, Nor Azlan Ibrahim dengan penglibatan Ketua Seksyen Operasi JPJ Sarawak, Saifullah Ali; Ketua JPJ Bintulu, Fedrick Kedo, serta pegawai dan anggota dari pelbagai unit penguatkuasaan JPJ Bintulu.
“Diharapkan tindakan penguatkuasaan secara berfokus ini dapat menghasilkan budaya pematuhan kepada undang-undang jalan raya yang tinggi,” menurut kenyataan itu.
Ops Cahaya bertujuan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan, khususnya berkaitan cermin gelap, yang boleh menjejaskan keselamatan dan menyukarkan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas.
Tindakan tegas diambil untuk mendidik dan membentuk budaya pematuhan undang-undang jalan raya yang lebih baik.