PETRA JAYA: Lebih 12,000 pengunjung membanjiri hari kedua Pesta Orang Kampung (POK) yang diadakan di pekarangan Stadium Negeri Sarawak di sini.
Pengelola program, Roydy Ismail berkata, pesta yang berkonsepkan pemakaian tradisional Melayu klasik ini mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk sekitar Kuching.
“Pesta Orang Kampung menjadi kayu ukur kejayaan pelaksanaan acara ini dengan konsepnya yang unik.
“Kuching sering menjadi lokasi utama untuk mengukur kejayaan sesuatu acara. Jika berjaya diadakan di sini, kejayaan di tempat lain juga boleh dicapai.
“Setakat tempoh dua hari pertama pesta ini berlangsung, lebih 12,000 pengunjung telah hadir untuk memeriahkannya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Roydy turut menjelaskan bahawa program sampingan POK merangkumi persembahan joget Melayu, kompang, pertandingan suara emas P. Ramlee, panggung P. Ramlee, dan pelbagai aktiviti lain.
“Inisiatif ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai, terutamanya generasi muda, agar lebih mengenali budaya generasi terdahulu.
“Ramai dalam kalangan generasi kini kurang mengenali budaya zaman dahulu, maka usaha ini penting untuk memastikan budaya tersebut kekal terpelihara dan tidak lapuk ditelan zaman,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangan program ini, Roydy menyatakan hasrat untuk membawa POK ke negeri-negeri lain, termasuk Sabah.
“Memang ada niat dan perancangan untuk membawa pesta ini ke Sabah, mungkin selepas Hari Raya.
“Namun, perbincangan lebih mendalam akan diadakan untuk menilai kesesuaian, walaupun ia sememangnya sudah dalam perancangan.
“Kami berhasrat membawa vendor tempatan dari Sarawak untuk meneroka pasaran luar negeri, dengan menyediakan platform yang sesuai untuk mereka,” katanya.
Orang ramai diseru untuk memberi sokongan dan hadir memeriahkan Pesta Orang Kampung yang sudah bermula pada 8 Januari hingga 12 Januari di pekarangan Stadium Negeri Sarawak.
Oleh Mohd Neenatul Aizal