KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu meningkatkan purata pendapatan isi rumah rakyat di negeri dari RM5,000 sekarang kepada RM16,000 sebulan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau mahu projek atau inisiatif kerajaan menjadi tumpuan rakyat dengan pembahagian kekayaan kepada rakyat mestilah adil serta jurang pendapatan akan dikurangkan dengan lebih baik.
“Ini adalah fokus atau tunjang utama kedua Kerajaan Sarawak dalam Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak iaitu masyarakat yang inklusif.
“Selain itu, peratusan isi rumah berpendapatan rendah di Sarawak pada masa ini adalah 53 peratus, perkara ini mesti ditangani secara holistik.
“Dalam 10 tahun, kita mesti mengurangkan ini dengan objektif untuk mengurangkannya di bawah 40 peratus,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam Mesyuarat Pertama Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) bertempat di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
“Bagi setiap rakyat Sarawak, akses ke perkhidmatan sosial perlu ditingkatkan, kita juga tidak boleh melupakan segmen masyarakat kita yang rentan.
“Semua orang termasuk komuniti berkeperluan khas kami akan dijaga sebaiknya,” ujarnya.
Mengulas mengenai fokus ketiga iaitu kelestarian alam sekitar, Abang Johari berkata Sarawak adalah rumah untuk semua, jadi ia penting untuk mesti memastikannya bersih dan sihat untuk generasi semasa dan akan datang.
“Oleh sebab itu, saya telah memutuskan bahawa kelestarian akan menjadi prinsip utama ekonomi kita dengan meneruskan usaha penghutanan semula untuk meningkatkan perlindungan hutan.
“Kita juga akan meningkatkan kerangka peraturan dan memastikannya ia dipatuhi.
“Sebagai contoh, aktiviti pertanian dan perlombongan kita akan dipantau dan diperakui, kita akan melabur dalam teknologi dan inovasi yang dapat memastikan semua aktiviti ekonomi kita berterusan,” jelasnya.
Beliau berkata, Sarawak mahu dikenali oleh dunia untuk kelestarian dan perlindungan alam sekitar.
Turut hadir ketiga-tiga Timbalan Ketua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah, dan dua bekas Menteri Persekutuan – Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Datuk Seri Idris Jala.
Oleh Zarina Abdullah