KUCHING: Pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan dengan normal baharu, guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya, di sini, bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti digariskan demi keselamatan semua daripada risiko jangkitan Covid-19.
Sementara itu, pihak sekolah juga memberi kit sekolah kepada pelajar yang mengandungi paket tisu dan pelitup muka.
Tinjauan di sekolah itu turut mendapati para pelajar tidak sabar nak berjumpa dengan rakan-rakan dan guru, serta meneruskan pembelajaran seperti biasa.
Seorang pelajar di sekolah tersebut, Nadia Daniella, 17, berkata dia gembira dapat kembali ke sekolah sebab sudah lama terkurung di rumah.
“Ketika berada di rumah, saya mengambil peluang untuk belajar dan membuat kerja rumah yang cikgu bahagikan.
Mengenai pematuhan SOP, katanya, pelajar mesti mematuhi SOP yang ditetapkan pihak sekolah dengan jarak meja semua disusun satu meter.
“Kami dipecahkan kepada dua kelas iaitu satu kumpulan A dan satu kumpulan B. Dalam satu kelas ada 16 pelajar.
“Masa belajar pula dipendekkan sebab dahulu kami balik jam 2.00 petang sekarang kami balik jam 1:40 petang,” katanya.
Bagi, Chelsea Kiu, 17, beliau berkata gementar sedikit sebab sudah tiga bulan tidak keluar rumah dan berasa gembira dapat kembali ke sekolah sebab dah nak menduduki peperiksaan SPM.
Katanya, kalau selalu duduk di rumah juga tidak dapat belajar bersungguh-sungguh dan berharap semua pelajar dapat menduduki peperiksaan dengan lancar dan memastikan mematuhi penjarakan sosial.
Sementara itu, Ng Chun Heng, 17, pula berkata sangat baik sebab dapat balik ke sekolah untuk belajar semula kerana sudah beberapa bulan di rumah dan tidak belajar.
Beliau berharap mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mata pelajaran yang penting iaitu sejarah dan bahasa Melayu.
Oleh Cheryl Law