SARATOK: Pelbagai kemudahan serta bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan anak-anak Sarawak dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata pelbagai bantuan untuk golongan pelajar khasnya itu diyakini mampu meringankan beban yang ditanggung terutama kepada keluarga yang berpendapatan rendah.
“Untuk makluman, Pusat khidmat ADUN Kalaka telah membelanjakan sebanyak RM80,970 bagi membantu meringankan beban keluarga kepada anak-anak yang berjaya melanjutkan pendidikan ke menara gading, tahun lepas.
“Ia bertujuan membantu pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang diploma serta ijazah dengan bantuan wang tunai sebanyak RM250 seorang. Pelajar yang sudah menerima tawaran daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta, bolehlah memohon bantuan di Pejabat Pusat Khidmat DUN Kalaka dengan membawa dokumen yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis Solat Hajat, Doa Pemberkatan dan Restu Ilmu di Kolej Tingkatan Enam Saratok, di sini semalam.
Mohamad Duri berkata dasar pendidikan percuma untuk anak Sarawak yang akan dilaksanakan pada 2026 bakal memberi banyak manfaat kepada anak Sarawak yang belajar di lima universiti milik kerajaan Sarawak.
Justeru, beliau menggalakkan lebih ramai anak Sarawak termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka untuk meningkatkan prestasi pelajaran agar mereka dapat menikmati peluang itu apabila dilaksanakan kelak.
“Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pendidikan percuma bermula 2026 dan pastinya ia akan membuka lebih banyak peluang kepada belia-belia di Sarawak amnya dan di DUN Kalaka khasnya melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pendidikan percuma yang akan dilaksanakan nanti, pastinya adalah peluang bagi pelajar meningkatkan pelajaran ke peringkat tinggi dan kita tumpukan kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di universiti milik kerajaan Sarawak sendiri,” kata Mohamad Duri.