SIBU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sarawak berdepan kekangan kewangan disebabkan kadar cukai taksiran yang tidak dikemaskini sejak 1960-an, selain daripada peningkatan kos operasi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata Sarawak masih menggunakan rekod dari 1960-an kerana satu dasar yang diperkenalkan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
“Melalui dasar tersebut, Adenan berpendapat bahawa jika taksiran berada di bawah jumlah tertentu, ia harus diketepikan. Akibatnya, PBT Sibu mengalami kerugian sebanyak RM2 juta,” katanya pada majlis makan malam penghargaan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di sini, malam tadi.
Dr Sim berkata keadaan itu menyebabkan kebanyakan PBT di Sarawak bergelut dari segi kewangan kerana kadar taksiran tidak meningkat sejak 1960-an, walaupun gaji dan kos sara hidup meningkat.
Ketiadaan kenaikan ini, jelasnya, menyebabkan PBT sukar untuk memenuhi jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan awam yang lebih baik.
Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, turut memberitahu bahawa beberapa negeri telah meningkatkan kadar taksiran mereka sebanyak 25 peratus.
“Sebagai contoh, Pulau Pinang dan Selangor telah mengemas kini kadar penilaian mereka sementara PBT di Sarawak masih jauh ketinggalan dari segi kewangan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa dasar yang diperkenalkan oleh Adenan bertujuan untuk mencapai keseimbangan, memastikan majlis dapat memberikan perkhidmatan yang baik sambil meringankan beban kewangan rakyat.
“Seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi MPS, Clarence Ting, bukanlah mudah bagi ahli majlis atau kakitangan untuk memenuhi tuntutan ini,” katanya.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Dr Sim memuji ketahanan dan dedikasi kakitangan majlis tempatan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda semua atas kegigihan dan ketabahan anda. Bukan sahaja berjaya, tetapi juga cekal,” tambahnya.
Dr Sim juga berkongsi berita gembira dengan mengumumkan bahawa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama kabinet, telah bersetuju untuk memberikan pampasan kepada majlis tempatan bagi kehilangan hasil mereka bermula tahun depan.
“Sokongan kewangan ini dijangka dapat mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan tanpa perlu mengenakan bayaran tambahan kepada orang awam,” kata Dr Sim.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng dan Pengerusi MPS, Clarence Ting.
Oleh TARANI LANTING