SIBU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menasihati para peniaga dan pembeli agar memahami hak pengguna ketika urusan jual dan beli barangan.
Pengerusi MTPN cawangan Sibu Ahli Majlis Kehormat Kebangsaan, Lucas Lau berkata, peniaga haruslah bertanggungjawab manakala pembeli haruslah bijak terutama dalam mempertahankan hak pengguna mereka.
“Hak pengguna keempat, hak untuk membuat pilihan iaitu pengguna berhak untuk memilih daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang kompetitif dan jaminan kualiti yang memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai aduan yang diterima oleh pihak MTPN mengenai seorang pengadu telah mengaku ditipu apabila dipaksa membeli korset daripada seorang pempengaruh.
Kes tersebut bermula pada 13 Disember 2024 lebih kurang 9.40 pagi, MTPN Negeri Sarawak cawangan Sibu telah menerima aduan melalui ‘facebook messenger’ mengenai ejen jurujual yang melanggar Akta Jualan Lansung.
Menurutnya, pengadu pada awalnya terlihat satu posting di media sosial oleh seorang pempengaruh tempatan Sibu (influncer) atau model sambilan mengenai satu iklan percubaan percuma baju korset yang dikatakan sangat berbaloi dan mampu memberi kesan melalui sekali pemakaian.
“Disebabkan iklan yang menyakinkan, pengadu terus bersetuju untuk mencuba sendiri baju korset tersebut. Pempengaruh telah membuat temujanji dengan ejen jurujual bagi tujuan percubaan percuma.
“Bagaimanapun, baju korset yang dikatakan percubaan percuma hanyalah taktik jualan kerana selepas sekali percubaan, pengadu telah dipaksa untuk terus membeli baju korset tanpa mengetahui harga jualan yang sebenar.
“Pengadu hanya mengetahui harga selepas menerima invois hampir RM9,000 dari ejen jualan pada hari yang sama, tanpa sebarang persetujuan atau kontrak jualan.
“Oleh disebabkan menerima layanan yang tidak adil dan buntu, pengadu telah bertindak untuk membuat aduan kepada pihak MTPN bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Lau berkata, sepanjang proses ini, pihak MTPN telah merujuk kepada invois jualan langsung berkenaan berserta beberapa bukti bagi merujuk kepada penasihat dan pihak berkenaan berhubung perkara ini.
“Pada tarikh 24 Disember 2024, pihak MTPN telah membantu pengadu bagi membuat aduan kepenggunaan ke (e-kpdn) melalui pengurusan kes ini,” kata beliau.
Katanya lagi, pihak MTPN ingin menggesa kepada orang awam untuk memahami Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 (Akta 500) iaitu antaranya.
“Peniagaan perlu mendapat lesen jualan langsung yang sah dibawah akta syarikat 2016. Etika penjual (penjual yang mendesak pembeli secara agresif sehingga pembeli terpaksa membeli untuk menghentikan gangguan).
“Sebarang urusan jual beli perlu ada kontrak jualan lansung (kontrak ini adalah tertakluk kepada tempoh bertenang selama sepuluh hari bekerja) dan setiap invois jualan dikeluarkan perlu mempunyai nombor pendaftaran ejen yang sah dan berdaftar.
Kesimpulan, katanya lagi, pihak MTPN ingin memberi peringatan kepada para peniaga agar menjadi peniaga yang bertanggungjawab dan pembeli sebagai pembeli yang bijak dalam mempertahankan lapan hak pengguna.
“Hak pengguna ke empat hak untuk membuat pilihan, iaitu pengguna berhak untuk memilih daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang kompetitif dan jaminan kualiti yang memuaskan,” kata beliau.
Turut hadir, Naib Pengerusi cawangan Sibu Ketua Biro Belia & Sukan Sibu, Nur Intan Asmida Busmandi, Pegawai Biro Penerangan MTPN cawangan Sibu, Alex Kho Khim Hock dan Pegawai Biro Penerangan MTPN cawangan Sibu, Nur Hanisah Busmandi.
Oleh Akun Giman