MIRI: Komuniti Penan di empat kampung di Baram tersenyum lebar apabila menerima sumbangan daripada Ibraco Berhad sempena penganjuran program ’Charity Without Borders’ Edisi ke-11 anjuran Kelab Cabaran Pacuan 4 Roda Bintulu dan Hope Place.
Ibraco menerusi satu kenyataan berkata pemberian sumbangan itu melibatkan komuniti Penan di Long Tikan, Long Betao, dan Long Bee dan Long Jekitan.
Menurut Pengarah Urusan Ibraco Bhd, Datuk Chew Chiaw Han, sumbangan itu untuk membantu membangunkan, memperbaiki kualiti hidup dan generasi masa depan komuniti Penan.
“Ibraco berasa bangga dan sangat gembira dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif mulia yang dianjurkan oleh Hope Place.
“Sebagai sebuah syarikat, kami percaya kepada usaha memberi kembali kepada komuniti dan kami benar-benar memahami bahawa amal bermula di rumah, di tempat yang memerlukan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, Ibraco menerusi kenyataan memberitahu acara itu turut menampilkan perkhidmatan kesihatan menyeluruh dengan pasukan perubatan seramai 22 orang yang memberikan perkhidmatan kesihatan percuma kepada lebih 200 penduduk kampung, termasuk 104 kanak-kanak.
Katanya, pasukan itu diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Dr. Azlee Ayub dan turut disertai oleh seorang pakar mata, seorang pakar ortopedik, serta Dr. Har, yang mewakili Persatuan Pergigian Malaysia Zon Timur bagi memberikan rawatan pergigian.
Selain itu, potongan rambut percuma juga diberikan kepada penduduk kampung yang disediakan oleh H2O Hairdressing dari Bintulu.
Tambahnya lagi, seramai lebih 100 kanak-kanak dari kampung-kampung ini menikmati permainan, teka-teki, dan menerima hadiah Krismas istimewa, yang dianjurkan oleh sukarelawan tetap Hope Place, Denise Koo.
Di samping itu, kanak-kanak juga diberi buku mewarna yang direka khas oleh artis tempatan, Nia Latif.
Hadiah Krismas disumbangkan oleh Sam Fah Enterprise dan penderma dari Kuching.
Sementara itu, penaja utama lain, termasuk Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), memperuntukkan RM40,000 khas untuk menyokong acara tersebut.
Selain itu, Sarawak Energy Bhd (SEB) telah menyumbangkan 130 jaket keselamatan, dan Hoe Guan Scaffolding and Trading Sdn Bhd menyumbangkan 15 alat pemadam api.