DUN: Sara-Bif sasar pasaran Semenanjung Malaysia dan Sabah

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika menyentuh perkembangan Sara-Bif yang menyasarkan peluasan pasaran produk daging ke Semenanjung Malaysia dan Sabah pada suku keempat 2026, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 20 Oktober: Sara-Bif menyasarkan peluasan pasaran produk dagingnya ke Semenanjung Malaysia dan Sabah pada suku keempat 2026 selepas memperoleh pengiktirafan Tanda Kesihatan Veterinar (VHM).

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kemudahan pemprosesan itu ketika ini menghasilkan 20,000 tin daging lembu sebulan, dengan nilai pengeluaran sebanyak RM360,000.

Produk yang dihasilkan termasuk daging lembu cincang berempah (corned beef) dan bebola daging dalam tin. Produk berkenaan menggunakan daging lembu import dari Australia yang diproses di Sarawak.

SARA-BIF, kemudahan pemprosesan hiliran daging di Sarawak yang menghasilkan produk daging lembu dalam tin untuk pasaran tempatan dan peluasan pasaran ke Semenanjung Malaysia serta Sabah. Foto Ukas

Pemerolehan pengiktirafan VHM merupakan perkembangan penting bagi Sara-Bif dalam usaha memperluas pasaran produknya ke luar Sarawak, tertakluk kepada pematuhan syarat dan kelulusan berkaitan bagi pasaran sasaran.

Peluasan pasaran itu dijangka membuka peluang kepada produk daging keluaran Sarawak untuk menembusi pasaran yang lebih luas.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Oleh Afiq Sallehi