SEJINGKAT: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Sejingkat berhampiran Terminal Sejingkat di sini awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, mangsa, Win Kyaw Paik, 49, dilaporkan terjatuh dari jambatan menuju ke sebuah kapal muatan kontena kira-kira jam 12:10 tengah malam tadi.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 12:56 pagi.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya tiba di lokasi kejadian pada jam 1:22 pagi.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari kedua pagi ini dengan pencarian di permukaan sejauh 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Selain itu, tinjauan udara menggunakan dron oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia juga dilakukan dalam radius 700 meter ke arah hilir sungai.
“Pada jam 10:14 pagi, pasukan SAR menemui mangsa dalam keadaan terapung sejauh 4 kilometer dari lokasi kejadian, berhampiran Kampung Sejingkat,” katanya.
Operasi berakhir sepenuhnya pada jam 11:30 pagi, dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.