SAMARAHAN: Pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu di Sarawak dipercayai akan dilaksanakan di kawasan Tanjung Embang, Asajaya, dijangka memberi manfaat besar kepada Samarahan, Asajaya, dan Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun tiada pengesahan rasmi, pelbagai program dan maklumat menunjukkan projek mega itu akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
“Pelbagai projek akan dijalankan di kawasan Samarahan, ini melibatkan pembangunan lapangan terbang dan pelabuhan laut dalam.
“Lokasi utamanya dipercayai berada di Tanjung Embang, iaitu di penghujung kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas majlis penyerahan surat hak milik tanah bagi Seksyen 13 dan 18 Kanun Tanah Negeri dan cek pampasan bagi projek Bahagian Samarahan, hari ini.
Abdul Karim berkata projek ini bukan sahaja akan mengubah landskap kawasan berkenaan, malah turut membawa limpahan manfaat ekonomi ke kawasan sekitar.
“Kesan limpahan projek mega seperti ini pasti akan menjurus kepada kawasan Samarahan, Asajaya, dan Kuching. Saya tidak berani mengesahkan sepenuhnya, tetapi perkara ini sudah menjadi rahsia terbuka,” tambahnya.
Oleh itu, Abdul Karim menasihati agar masyarakat Samarahan untuk tidak menjual tanah mereka sesuka hati setelah menerima surat hak milik tanah.
“Penduduk bertambah, namun keluasan tanah statik, ini menyebabkan harga tanah semakin meningkat setiap tahun, lebih-lebih lagi di kawasan Samarahan ini.
“Pembangunan di kawasan ini sangat banyak. Jadi kalau harga tanah dahulu mungkin RM20,000 satu ekar, mungkin sekarang boleh mencecah RM100,000, kalau 10 tahun akan datang, kemungkinan harganya bertambah tiga hingga empat kali ganda.
“Jadi kepada mereka yang mendapat surat hak milik, simpanlah tanah itu, untuk keluarga dan anak-anak,” katanya.
Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, proses perancangan untuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu akan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan.
Konsep lapangan terbang itu pula akan menggunakan model Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar.
Bagaimanapun, lokasi sebenar lapangan terbang baharu itu belum diumumkan.
Oleh Shahrul Qaizat