MUKAH, 16 November: Lebih 50 ahli SKUAD Antidadah menyertai perlawanan persahabatan pickleball anjuran Jawatankuasa SKUAD Antidadah Daerah Sibu di Dewan Masyarakat Kampung Petanak di sini, baru-baru ini.
Program itu bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara sukarelawan SKUAD Antidadah dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selain menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan peserta.
Perlawanan persahabatan itu disempurnakan oleh Pengerusi SKUAD Antidadah Negeri Sarawak, Royston Valentine.
Penyertaan melibatkan pemain pasukan pilihan Pengerusi SKUAD Antidadah Negeri Sarawak, barisan pemain SKUAD Antidadah Sibu serta pegawai dan kakitangan AADK Daerah Sibu dan AADK Daerah Mukah.
Selain mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak, aktiviti sukan itu turut menjadi platform untuk memupuk semangat silaturahim dan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.
Penganjuran program itu turut mendapat sokongan beberapa syarikat perniagaan tempatan, termasuk Rizqi Shop Enterprise, Wahafafa Enterprise dan Banner Murah Sibu.
Hadir sama ialah Ketua Daerah AADK Sibu, Mohamad Farizal Mohamad Buang; wakil Ketua Daerah AADK Mukah, Hazar Hasan; Pengerusi Jawatankuasa SKUAD Antidadah Daerah Sibu, Raden Khairulzaman Raden Bustari dan timbalannya, Mohamad Mostapha Lasot.
Oleh Tarani Lanting




