Iklan jawatan kosong 2026 palsu guna nama KPWKM

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 16 November: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan poster iklan jawatan kosong 2026 yang tular menggunakan nama kementerian itu adalah palsu.

“Iklan berkenaan bukan dikeluarkan, disahkan atau mendapat kebenaran daripada pihak kementerian, orang ramai dinasihatkan agar tidak terperdaya dengan kandungan iklan tersebut,” menurut KPWKM menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sehubungan dengan itu, KPWKM mengingatkan orang ramai agar tidak mengemukakan sebarang permohonan, mengimbas kod respons pantas (QR), mengakses pautan atau mendedahkan maklumat peribadi melalui mana-mana platform yang dinyatakan dalam iklan berkenaan.

KPWKM memandang serius penyebaran maklumat palsu yang menggunakan nama kementerian kerana berpotensi mengelirukan orang ramai serta mendedahkan mereka kepada risiko penipuan dan penyalahgunaan maklumat peribadi.

Orang ramai disaran merujuk dan mengesahkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan melalui saluran komunikasi rasmi KPWKM serta tidak menyebarkan poster atau iklan yang belum dipastikan kesahihannya.

KPWKM turut menegaskan bahawa sebarang urusan atau tindakan yang dibuat berdasarkan iklan palsu itu adalah di luar pengetahuan dan kawalan kementerian.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan kesahihan sumber maklumat sebelum mengambil sebarang tindakan,” menurut hantaran itu. – Bernama