SIBU, 16 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menjadikan rekod pencapaian kerajaan negeri sepanjang penggal semasa sebagai asas untuk mendapatkan mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang berkata, keyakinan itu bersandarkan pelbagai inisiatif pembangunan yang telah dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kawasan masing-masing serta masyarakat setempat.
“Kad laporan kami ialah segala pencapaian yang telah dilaksanakan kerajaan GPS untuk Sarawak, termasuk sehingga ke peringkat kawasan pilihan raya masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Gelanggang Bola Tampar SJKC Uk Daik di sini, hari ini.
Menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan itu, pengundi mempunyai ruang untuk menilai prestasi setiap wakil rakyat sebelum menentukan sama ada mahu kesinambungan agenda pembangunan sedia ada diteruskan.
Beliau berkata, setiap wakil rakyat GPS bertanggungjawab membuktikan hasil kerja dan pencapaian sepanjang tempoh mereka diberikan mandat.
Tiang berkata, PRN akan datang turut memberi peluang kepada rakyat menentukan sama ada mahu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus menerajui kepimpinan negeri.
“Pengundi perlu menentukan sama ada mereka mahu momentum ini diteruskan dan sama ada mahu kapten kita, Premier, terus memimpin pasukan ini untuk membawa Sarawak, termasuk Sibu, Bintulu, Miri dan Kuching ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau menegaskan keputusan akhir tetap terletak di tangan rakyat yang akan menilai prestasi kerajaan serta hala tuju pembangunan negeri.
Dalam pada itu, Tiang menyifatkan model ekonomi Sarawak sebagai antara pendekatan pembangunan yang boleh dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.
Mengulas keyakinannya menghadapi PRN, beliau sekali lagi menegaskan bahawa beliau bersama rakan-rakan GPS yakin untuk berdepan pilihan raya berkenaan dengan pencapaian kerajaan sebagai sandaran.
Oleh Tarani Lanting




