LAWAS: Beberapa projek mega yang dilaksanakan di Lawas akan diteruskan pembinaan tahun depan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ia melibatkan projek lebuh raya persisir utara, pelabuhan laut dalam di Pulau Sari dan Lapangan Terbang baharu Lawas.
“Projek mega ini termasuk Lebuh Raya Pesisir Utara yang kita harapkan akan dapat dimulakan, setelah kelulusan diberi dan kontraktor sudah diluluskan untuk perlaksanaan projek ini pada awal tahun depan.
“Ia juga melibatkan pembinaan jeti untuk pelabuhan kita. Begitu juga untuk lapangan terbang baharu dijangka dilaksana tahun depan,” katanya kepada media selepas Majlis Pra Natal dan Tahun Baru 2025 di Stadium Tertutup Lawas semalam.
Turut sama ialah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong.
Awang Tengah berkata projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) yang sedang dalam pembinaan bagi pakej pertama ketika ini, akan diteruskan hingga ke Limbang dan seterusnya ke Miri.
Pakej pertama SSLR bermula dari Kampung Gelugus di Lawas hingga persimpangan Long Lopeng dengan anggaran jajaran sejauh 77 kilometer yang dijangka siap pada November 2026.
Langkah itu sebagai usaha kerajaan untuk menghubungkan bahagian utara di wilayah ini tanpa melalui negara jiran, Brunei Darussalam.
Dalam pada itu, projek lain yang turut dilaksanakan ialah pembinaan jalan di kawasan perbatasan sempadan Ba’kelalan di Sarawak dan Indonesia, selain pembinaan rangkaian jala raya di Mengkalap sehingga Long Tengoa di Lawas.
Oleh ADENG EDRUS