KUCHING: Kes penyakit Demam Babi Afrika atau ‘African Swine Fever’ (ASF) yang dikesan di ladang khinzir di Mongkos, Tebedu pada 29 November lepas kini berada di bawah kawalan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, beliau mengesahkan bahawa daerah lain di Sarawak masih bebas daripada penyakit tersebut.
Katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) telah mengambil langkah pencegahan bagi memastikan virus ini tidak merebak ke ladang-ladang berhampiran.
“ASF yang hanya menjangkiti ternakan khinzir dan tidak menular kepada manusia atau haiwan lain, tidak bersifat zoonotik.
“Penternak diminta meningkatkan biosekuriti ladang masing-masing, termasuk menyediakan pagar perimeter yang kukuh, ‘vehicle dip/foot dip’ serta mengawal pergerakan keluar-masuk ternakan dan individu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Rundi, penternak khinzir juga dilarang memberi sisa makanan atau dapur kepada khinzir tanpa dimasak terlebih dahulu selama 30 minit.
“Haiwan baru juga tidak boleh dibawa masuk ke ladang tanpa status kesihatan yang jelas,” katanya.
Dalam pada itu, Rundi menjelaskan bahawa bekalan khinzir untuk sambutan Krismas di Sarawak mencukupi dan produk daging khinzir di pasaran disahkan selamat untuk dimakan.
DVSS turut menegaskan bahawa video tular berkaitan ASF adalah rakaman lama dari luar negara dan tidak berlaku di Sarawak.