KUCHING: Sebuah lot kedai tiga tingkat di Batu 13, Jalan Kuching-Serian mengalami kebakaran yang memusnahkan 80 peratus bahagian tingkat bawah petang tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.29 petang, sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan tiba di lokasi pada jam 4.50 petang.
Operasi pemadaman melibatkan BBP Batu Lintang sebagai balai bantuan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 5.10 petang.
Komander Operasi, PPgB Muhamaad Imran Sabri memaklumkan bahawa kebakaran melibatkan sebuah kedai barangan runcit, dengan keluasan anggaran 20×30 kaki persegi.
Katanya, pasukan bomba menggunakan tiga aliran air satu aliran sepanjang 200 kaki dan dua aliran sepanjang 100 kaki untuk memadamkan kebakaran dengan sumber air dari pili bomba dan tangki jentera.
“Hasil pemeriksaan mendapati tingkat dua dan tiga premis serta lot kedai bersebelahan tidak terjejas. Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.
Kejadian itu melibatkan 16 anggota dan enam jentera termasuk dua FRT, dua EMRS, dan dua Hilux. .
Antara agensi lain yang terlibat dalam operasi adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.