IPOH: Tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan dalam operasi mencari seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum, di sini pada 30 Nov lepas.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata misi pencarian LKpl Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi dari pasukan 22 Komando, Kem Iskandar Mersing, Johor itu masih diteruskan di sekitar tempat kejadian (Sungai Merah) sehingga sepanjang Sungai Perak.
“Pihak polis dan tentera terus melaksanakan operasi pencarian dan buat masa ini kita belum berbincang untuk hentikan (operasi) walaupun ia mempunyai tempoh masa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 3 Dis lepas, TDM dalam satu kenyataan mengesahkan kehilangan dua anggotanya semasa melakukan rondaan dalam Operasi Kota Echo/Foxtrot Siri 6/2024, kira-kira pukul 8 pagi.
Tujuh anggota yang terlibat ditemukan selamat kira-kira 12.30 tengah hari pada hari kejadian, namun Ahmad Zulhmi serta LKpl Mohd Afandi Jahwin daripada pasukan 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka, hilang.
Bagaimanapun, mayat Mohd Afandi yang berasal dari Matu, Sarawak dijumpai di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup pada 1 Dis, dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan penyelamat.
Zulkifli turut mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian yang berlaku.
“Saya minta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk meneruskan operasi pencarian dan kita berharap mangsa dapat ditemukan secepat mungkin,” katanya.
— BERNAMA