SIMUNJAN: Lokasi projek Dewan Warisan Batang Sadong bersebelahan Jambatan Batang Sadong dilabel sebagai ‘Insta Worthy’ untuk rakyat merakam kenangan semasa berkunjung di sini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri.
Menurut Nancy, tapak cadangan projek ala Rehat dan Rawat (R&R) dan cadangan projek Dewan Warisan Batang Sadong bersebelahan Jambatan Batang Sadong yang akan digunakan sebagai pusat kebudayaan pelbagai masyarakat di kawasan Batang Sadong yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Melayu, Bugis, Jawa dan Iban.
“Kawasan berkenaan boleh menjadi Insta Worthy kepada mereka yang mencari keunikan dan kelainan untuk berkongsi penceritaan pengalaman semasa berkunjung ke sesuatu tempat,” katanya ketika meninjau perkembangan pelaksanaan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekitar Gedong, Simunjan dan Sadong Jaya semalam.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong mengakui Simunjan sendiri memiliki tempat riadah untuk keluarga dan penggemar eko-pelancongan yang dapat menikmati pemandangan serta air sungai bersih yang mengalir dari air terjun Wong Muas, tempat berkelah seperti di Sungai Krian, Kepayang, manakala Gunung Ngeli untuk sukan hiking.
“Di Gedong pula, kita ada pusat pengeluaran tenunan Songket Sarawak, Mi udang manakala di Sadong Jaya pula kita ada produk makanan etnik Bugis seperti Burasak, Ikan Pindang, Daging Kak Daro, Sambalak Celak, Cucor Lumek dan Kambu Feria,” katanya.
Nancy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) turut meninjau beberapa tapak di kawasan beliau yang mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai kawasan peranginan dan pelancongan.
Antara projek RTP yang siap adalah projek naiktaraf Rumah Usahawan Wanita Simunjan bernilai RM200,000 yang mula pembinaannya pada Oktober tahun lalu dan siap pada April lalu.
Semalam merupakan kunjungan pertama beliau selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang bermula sejak 18 Mac dan berakhir pada 9 Jun lalu