KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengkaji mempercepatkan kaedah pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo dan projek-projek pembangunan jalan di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kanan – Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof berkata, perkara berikut adalah antara pencapaian beliau selama 100 hari menerajui KKR.
“KKR juga telah mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM782 juta bagi tujuan senggara Jalan Persekutuan di seluruh negara, mengaktifkan Jawatankuasa Penswastaan Lebuhraya untuk mengkaji semula arah tuju projek-projek inisiatif swasta, melaksanakan cadangan tawaran baharu program dan projek-projek ‘quick-win’ di bawah kluster infrastruktur.
“Kita juga mengaktifkan semula Ikrar Aku Janji ‘Zero Potholes’ melibatkan semua Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, ia selari dengan keadaan semasa KKR telah melancarkan kerja-kerja undi projek kecil Jabatan Kerja Raya (JKR) secara atas talian seterusnya membantu kontraktor-kontraktor kecil.
“Sebaik kembali dipilih menerajui semula KKR juga saya telah mengaktifkan semula inisiatif program aduan awam ‘RakanKKR’ sebagai mata dan telinga kerajaan.
“Bagi memastikan pematuhan terhadap SOP selain pemantauan rapi dan pemeriksaan berterusan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), saya sendiri turun padang untuk meninjau keadaan di tapak pembinaan.
“Selain daripada pematuhan SOP, syarikat pembinaan turut mengambil inisiatif membangunkan aplikasi khas bagi merekodkan kehadiran serta status kesihatan pekerja dan mengesan pergerakan pekerja supaya tidak melepasi kawasan projek semasa waktu bekerja,” jelasnya.
Tambahnya, dalam tempoh 20 April hingga 14 Jun lepas, sebanyak 7,699 lokasi tapak pembinaan telah diperiksa oleh CIDB.
“Daripada jumlah tersebut, 17 tapak pembinaan telah diarah tutup operasi buat sementara selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai pengalaman 100 hari, beliau berkata, ia penuh mencabar namun berkat kerjasama seluruh rakyat Malaysia, semua telah bersama-sama dapat menghadapinya daripada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
“Ini kerana Jemaah Menteri di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik ketika pandemik Covid-19 menular di seluruh dunia dengan seminggu selepas kabinet baharu mengangkat sumpah, PKP telah diumumkan bermula.
“Saya lebih banyak terlibat dalam mesyuarat menangani penularan Covid-19 terutamanya PKP yang pada mulanya diadakan setiap hari, selain terlibat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri dan turut menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi bagi isu berkaitan,” katanya lagi.