PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan 10 tuntutan yang dibuat Sarawak berkaitan pendidikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 & Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata 10 tuntutan yang dipersetujui ini adalah tuntutan pentadbiran.
“Pertama adalah mengukuhkan penglibatan antara Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.
“Kedua, kebenaran kepada kerajaan Sarawak untuk mengambil guru perkhidmatan kontrak, namun masih tertakluk kepada pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Billy Sujang (Opar-GPS) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Berikut adalah antara tuntutan yang dipenuhi:
- Melaksanakan penilaian bagi tahun enam dan tingkatan tiga yang tertakluk kepad syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM)
- Melaksanakan program TVET berdasarkan keperluan/keutamaan kerajaan Sarawak.
Sharifah Hasidah berkata lima lagi tuntutan yang dipersetujui, melibatkan kerajaan Sarawak dalam perancangan projek pembangunan pendidikan dan menetapkan peruntukan masa pendidikan Islam tidak menganggu masa mata pelajaran yang lain terutamanya STEM.
“Turut dipersetujui, berkongsi maklumat perpindahan pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri ke ibu pejabat KPM, menyalurkan peruntukan untuk Program Pembangunan Profesional, menyalurkan belanja mengurus dan operasi yang mencukupi kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan perkongsian data pendidikan.
“Semua ini adalah pentadbiran yang kita harapkan bukan sahaja hanya dipersetujui tetapi dilaksanakan,” katanya.
Oleh Noor Ikmal