Nancy tidak mahu pendidikan mangsa 12 tahun diabaikan

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri berucap pada Majlis Penutupan Program S.P.A At Mind Games 3.0 Tahun 2026 di Auditorium CENTEXS Kuching, di Santubong, hari ini.

SANTUBONG, 14 November: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang meneliti bentuk bantuan psikososial serta aspek perlindungan bagi seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang hamil selepas dipercayai menjadi mangsa rogol di Kabong.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, mangsa ketika ini masih ditempatkan di Hospital Sarikei untuk menjalani pemeriksaan, manakala pihaknya akan meneruskan perbincangan dengan keluarga bagi menentukan penjagaan dan kebajikan kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, JKM turut perlu melalui proses perundangan termasuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menentukan individu yang layak dan sesuai untuk menjaga mangsa serta bayi yang bakal dilahirkan.

“Kita juga perlu memberi perkhidmatan psikososial kepada kanak-kanak ini dan keluarganya kerana kita tidak mahu disebabkan kesilapan ketika masih belum matang, dia terpaksa berhenti sekolah.

“Ada pelbagai cara lain untuk kita membantu dan sebab itu kita akan lanjutkan perundingan dengan keluarganya serta melalui proses mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Program S.P.A At Mind Games 3.0 Tahun 2026 di Auditorium CENTEXS Kuching, di sini, hari ini.

Nancy berkata, pihaknya tidak mahu keadaan yang dihadapi mangsa menyebabkan kanak-kanak itu terpaksa meninggalkan alam persekolahan, sebaliknya berharap kerjasama dapat dicapai bersama keluarga dan pihak sekolah bagi membolehkan pendidikannya diteruskan.

Katanya, pihak sekolah juga boleh memainkan peranan dengan berbincang mengenai kaedah bersesuaian untuk membantu mangsa sekiranya keadaan kesihatannya sepanjang kehamilan menyukarkan kehadirannya ke sekolah.

Mengulas kemungkinan mangsa ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak sekiranya keluarga tidak dapat menjaganya, Nancy berkata, perkara itu akan diteliti terlebih dahulu menerusi perbincangan bersama keluarga dan proses mahkamah.

“Kalau dari segi perlindungan, itu tiada masalah kerana kita mempunyai tempat untuk kanak-kanak seperti ini. Cuma mungkin ibu kandungnya mahu menjaganya, kita tidak tahu. Kita perlu melalui proses mahkamah terlebih dahulu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perbincangan lanjut bersama ibu bapa mangsa masih belum diadakan memandangkan kanak-kanak itu masih berada di hospital.

Dalam kejadian di sebuah kampung di Kabong, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan polis selepas disyaki merogol mangsa sehingga hamil.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie sebelum ini berkata, kes terbongkar selepas ibu mangsa membawa anaknya ke sekolah untuk memaklumkan mengenai kehamilan tersebut.

Pihak sekolah kemudian merujuk perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum satu laporan polis dibuat kerana mangsa masih di bawah umur.

Siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit mengenali mangsa sejak pertengahan 2025 sebelum mereka dipercayai menjalinkan hubungan pada awal tahun ini.

Suspek ditahan di sebuah rumah panjang di Kabong dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Oleh Shahrul Qaizat