KUCHING: Sarawak komited ke arah karbon sifar bersih melalui Pelan Karbon Sifar Bersih Sarawak serta pelaksanaan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pembebasn Gas Rumah Hijau) 2023, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, Abang Johari berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM11 juta bagi kedua-dua inisiatif berkenaan.
“Sarawak berada di barisan hadapan ekonomi hidrogen, menunjukkan komitmen terhadap inovasi dan visi kami untuk menjadi peneraju serantau dalam tenaga bersih.
“Selain itu, Sarawak menyasarkan peranan utama dalam menangani cabaran iklim global, termasuk matlamat karbon Sifar Bersih menjelang 2050, sambil memajukan aspirasi kami untuk menjadi kuasa tenaga boleh diperbaharui serantau,” katanya.
Abang Johari berkata Sarawak adalah pemain utama dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan dengan rancangan untuk membangunkan hab hidrogen hijau.
Oleh itu, beliau berkata ekonomi hidrogen yang baru muncul membuka peluang menarik untuk pelaburan – daripada teknologi canggih seperti elektroliser dan sel bahan api kepada penyimpanan tenaga dan pengangkutan mampan.
Sementara itu, mengenai strategi aktiviti karbon hutan, Abang Johari berkata sebanyak RM1.5 juta disediakan untuk projek karbon hutan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di Sarawak tahun depan.
“Selaras dengan perubahan iklim, Sarawak telah mengeluarkan empat permit karbon hutan seluas 130,037 hektar.
“Pengeluaran permit ini menandakan pencapaian penting, mencerminkan dedikasi Sarawak terhadap pengurusan hutan yang mampan dan pada masa sama mencipta peluang pendapatan baharu melalui penjualan kredit karbon di pasaran antarabangsa,” katanya.
Premier berkata pengenalan Peratuan Hutan (Aktiviti Karbon Hutan) 2022 menyediakan rangka kerja kawal selia yang jelas untuk projek karbon hutan di Sarawak.
Peraturan berkenaan menawarkan garis panduan komprehensif untuk inisiatif karbon hutan, merangkumi pengeluaran permit karbon hutan, pentadbiran kredit karbon dan pengesahan serta pemantaian usaha penyerapan karbon.
— BERNAMA