KUCHING: Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dan Ultimate Professional Centre (UPC) menjalin kerjasama menganjurkan aktiviti membersih pantai dan riadah sambil mengutip sampah di Kampung Santubong baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens, Stephen Chin berkata program itu mencerminkan komitmen berterusan Trienekens terhadap kesihatan alam sekitar dan penglibatan komuniti.
”Aktiviti pembersihan pantai bukan sahaja usaha kolaboratif untuk menangani pencemaran pantai malah berfungsi sebagai inisiatif pendidikan untuk menggalakkan amalan pengurusan sisa mampan dalam kalangan peserta dan masyarakat.
”Bersama dengan UPC dan komuniti Kampung Santubong, kami berharap dapat mewujudkan impak berkekalan terhadap alam sekitar dan memberi inspirasi kepada amalan terbaik seperti mengamalkan 3R (pengurang, guna semula dan kitar semula) dan penggunaan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi UPC, Laura Yiin berkata melalui inisiatif itu, pihaknya dapat melindungi pantai yang indah dan warisan semula jadi yang berharga daripada kerosakan atau pencemaran.
Jelasnya, setiap tindakan kecil menyumbang kepada impak lebih besar terutamanya mengurangkan risiko yang memberi impak negatif kepada alam sekitar.
Menurut Tienekens program gotong-royong itu diadakan sebahagian program Bulan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) Trienekens.
Acara itu menghimpunkan 100 peserta daripada kedua-dua organisasi dan komuniti setempat, bertujuan untuk memupuk tanggungjawab alam sekitar dan menonjolkan kepentingan kebersihan alam sekitar.
Aktiviti lain yang dijalankan semasa program termasuk penyerahan tong sampah beroda secara simbolik kepada penduduk Kampung Santubong, mengukuhkan dedikasi kumpulan untuk menyokong infrastruktur pengurusan sisa untuk masyarakat setempat.
Turut hadir pada majlis itu ialah ketua masyarakat Kampung Santubong, Penghulu Suhaili Kipli; Ketua Kampung Hardy Morni; Pengerusi UPC Laura Yiin, COO Trienekens Alice Lee dan Pengurus Besar HSE, Harris Michael Deho.
UPC ialah pusat profesional di Sarawak yang menghimpunkan 11 badan profesional dari pelbagai bidang.
Misi utamanya adalah untuk memupuk hubungan rapat, persefahaman dan kerjasama di kalangan pelbagai profesional dan organisasi di rantau ini, termasuk Trienekens.