SIBU, 23 Oktober: Kejohanan JAB Boxing Championship 101 Amateur Boxing menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu sukan tinju di Sarawak, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia seawal tujuh tahun.
Pengarah Kejohanan, Zurkarnain Majidi, 44, berkata, kejohanan edisi sulung itu dirancang untuk dijadikan acara tahunan bagi menyediakan peluang kepada atlet muda mengasah kemahiran serta menonjolkan bakat masing-masing.
Menurutnya, Sarawak mempunyai sejarah melahirkan petinju berbakat, termasuk legenda tinju negara, Sapok Biki, dan petinju profesional negeri, Kilat Boy.

“Justeru, kita berharap platform ini dapat melahirkan lebih ramai petinju berbakat yang mampu mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada JAB Boxing Championship 101 Amateur Boxing Edisi Pertama di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), petang ini.
Zurkarnain memberitahu, kejohanan itu menghimpunkan 186 atlet daripada 24 pasukan dari seluruh Sarawak serta satu pasukan dari Brunei Darussalam, termasuk 36 atlet wanita.
Katanya, pertandingan dibahagikan kepada beberapa kategori umur, bermula daripada U9 bagi atlet berusia tujuh hingga lapan tahun, U11 (sembilan hingga 10 tahun), U13 (11 hingga 12 tahun), U15 (13 hingga 14 tahun), U17 (15 hingga 16 tahun), U19 (17 hingga 18 tahun), U21 (19 hingga 20 tahun) dan kategori terbuka bagi atlet berusia 21 tahun ke atas.
“Usaha membangunkan sukan tinju memerlukan sokongan menyeluruh daripada ibu bapa, komuniti, sekolah, Jabatan Pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat,” ujarnya.
Katanya, penglibatan pelbagai pihak amat penting bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak dan remaja mendapat peluang menceburi sukan itu, sekali gus membina laluan pembangunan atlet secara lebih tersusun.
Beliau berkata, Persatuan Tinju Bahagian Sibu telah menganjurkan dua kejohanan melibatkan atlet muda pada 2025, manakala tiga kejohanan dilaksanakan tahun ini.
“Bagi tahun depan, kita merancang menganjurkan empat kejohanan yang turut memberi tumpuan kepada atlet muda, selain membuka ruang kepada penyertaan antarabangsa.
“Pada Julai lalu, kita juga menganjurkan kejohanan yang melibatkan atlet dari Singapura dan Indonesia,” ujarnya lagi.
Menurutnya, JAB Boxing Championship akan diteruskan pada edisi akan datang bagi memastikan kesinambungan program pembangunan bakat dan menyediakan lebih banyak peluang kepada atlet muda untuk meningkatkan prestasi.
Beliau berharap lebih banyak pihak tampil memberikan sokongan, termasuk dari segi penajaan dan kerjasama strategik, bagi membantu mengembangkan sukan tinju di Sarawak serta melahirkan atlet yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Oleh Akun Giman





