SIBU: Faktor masalah kewangan tidak lagi boleh menjadi alasan kepada pelajar Bumiputera di Sarawak untuk tidak melanjutkan pelajaran ke universiti milik Kerajaan Sarawak menjelang 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Permbangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, sistem kuota untuk kemasukan ke universiti milik kerajaan Sarawak tidak diperlukan kerana sesiapa sahaja boleh mendaftar asalkan mereka mempunyai kelayakan.
“Maksudnya, pelajar-pelajar bumiputera harus menekankan pencapaian akademik untuk bersaing masuk ke universiti sebab sistem kouta dan alasan masalah kewangan tidak boleh berlaku lagi pada 2026.
“Sesiapa sahaja boleh mendaftar asalkan mereka mempunyai kelayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Apresiasi dan Anugerah Kecermerlangan Kolej Vokasional (KV) Sibu 2024 di KV Sibu, hari ini.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, kerajaan Sarawak mempunyai banyak perancangan dan bukan saja perancangan tapi sudah dilaksanakan.
“Ini adalah termasuk menyediakan RM15 juta untuk menawarkan tuisyen percuma kepada pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 melalui Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP).
“Pelajar yang mendapat keputusan kurang daripada 44 peratus dalam mana-mana pelajaran akan dipinta menghadiri tuisyen secara percuma. Kita telah mendaftar 56,000 pelajar di seluruh Sarawak.
“Perancangan kerajaan Sarawak akan mewujudkan peluang seimbang kepada pelajar khususnya di luar bandar,” katanya.
Menyentuh tentang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Dr Annuar berkata, bidang itu amat penting dan menawarkan peluang besar kepada pelajar.
Turut hadir ialah Pengarah KV Sibu Arni Suhaili.
Oleh Akun Giman