Koyak hamstring: Neymar direhat hingga enam minggu

Facebook
WhatsApp
Neymar ketika menjalani proses pemulihan bersama Al-Hilal pada Februari lalu.

RIYADH: Neymar terpaksa diketepikan antara empat hingga enam minggu selepas imbasan mendedahkan penyerang Brazil itu mengalami koyak hamstring, umum kelabnya Al-Hilal malam tadi.

Bintang berusia 32 tahun itu hanya beraksi 26 minit sebagai pemain gantian pada babak kedua sebelum keluar terhincut-hincut dengan kekejangan hamstring kanan ketika menang 3-0 aksi Liga Juara-Juara AFC Elit menentang Esteghlal, Isnin lalu.

Neymar, yang berpindah ke Arab Saudi dari Paris Saint-Germain menerusi satu perjanjian lumayan pada 2023, tersisih selama hampir setahun hingga bulan lalu susulan pembedahan lutut kanan.

Jurulatih Al-Hilal, Jorge Jesus berkata awal minggu ini, Neymar akan terlepas sekurang-kurangnya latihan dua minggu berikutan kecederaan terbaharunya itu.

“Dia akan menjalani program rawatan dan pemulihan yang akan berjalan antara empat hingga enam minggu,” umum Al-Hilal dalam media sosial.

Al-Hilal, penyandang juara Saudi, tidak mendaftarkan nama Neymar bagi musim semasa Liga Pro Saudi, yang bermula Ogos lalu.

Namun bekas pemain Barcelona itu, dengan gajinya dilaporkan kira-kira 100 juta euro (RM473 juta) setahun, disenaraikan untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC Elit, pertandingan terbesar kelab di Asia. – AFP