Buaya gergasi 5.43 meter ditangkap di Pulau Bruit

Facebook
WhatsApp
BUAYA GERGASI... Seekor buaya sepanjang 5.43 meter dengan berat melebihi 600 kilogram berjaya ditangkap di Kampung Sedi, Pulau Bruit, Daro, hari ini. Foto tangkap layar video Facebook Jeffrey Siew.

SIBU, 3 November: Seekor buaya sepanjang 5.43 meter dengan anggaran berat melebihi 600 kilogram berjaya ditangkap di Kampung Sedi, Pulau Bruit, Daro hari ini selepas dua minggu diburu kerana mengancam keselamatan penduduk di sekitar muara Batang Paloh.

Penangkap buaya berlesen Jeferry Siew Seng Kwong, 41, berkata reptilia itu berjaya dipancing kira-kira 12.00 tengah hari sebelum beliau bersama pasukannya mendaratkannya pada 4.05 petang.

Beliau berkata buaya berkenaan sering memasuki sungai-sungai kecil yang menjadi laluan dan tempat penduduk menjalankan aktiviti harian, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka.

“Penduduk di sini bergantung pada sungai kecil untuk aktiviti harian mereka. Sebab itu mereka terancam dengan kehadiran buaya terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jeferry berkata pasukannya telah menyasarkan buaya berkenaan sejak dua minggu lepas dan pernah berjaya memancingnya, namun haiwan itu terlepas selepas tali pancing putus.

DUA MINGGU DIBURU… Buaya gergasi yang berkeliaran di sekitar muara Batang Paloh akhirnya berjaya ditangkap. Foto tangkap layar video Facebook Jeffrey Siew

Beliau berkata ancaman buaya di kawasan itu masih belum berakhir kerana terdapat seekor lagi haiwan terbabit yang dipercayai lebih besar dan masih belum berjaya ditangkap.

Jeferry yang memiliki lesen memburu buaya daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah menangkap lebih 100 buaya sepanjang penglibatannya dalam aktiviti berkenaan.

Pada 7 Oktober lepas, beliau bersama pasukannya turut berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 4.15 meter di Sungai Rajang berhampiran kawasan Stabau-Salim, Sibu.-Bernama