JIUQUAN: China sedang giat melaksanakan misinya untuk menghantar angkasawan ke Bulan menjelang 2030, dengan pembangunan dan pembinaan dijalankan dengan pantas bagi merealisasikan matlamat ini, menurut China Manned Space Agency (CMSA) dalam satu sidang media pada Selasa.
Pengeluaran dan ujian darat prototaip roket pengangkut Long March-10, kapal angkasa Mengzhou, “lunar lander” Lanyue, sut angkasa, dan rover Bulan yang membawa angkasawan kini sedang dijalankan mengikut perancangan, kata Lin Xiqiang, jurucakap CMSA, lapor agensi berita Xinhua.
Satu siri ujian utama berjaya diselesaikan, termasuk ujian pemisahan dua modul pendarat dan ujian simulasi altitud tinggi untuk enjin hidrogen-oksigen.
Sistem darat termasuk tapak pelancaran, komunikasi kawalan dan telemetri, serta tapak pendaratan sedang dibangunkan dan dibina, menurut CMSA.– BERNAMA-XINHUA