KUALA LUMPUR: Fiesta Muzikal dan Kesenian Deepavali 2024 mampu menjadi platform bagi komuniti India di negara ini mempamerkan kejayaan dan kekayaan budaya, tradisi serta kesenian mereka.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata irama nyanyian yang merdu serta tarian yang memukau menjadi kebanggaan untuk dipersembahkan kepada pengunjung program daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Program ini telah dianjurkan sejak 2008 lagi dan memang kita dapat lihat ia menjadi program yang semakin besar setiap tahun,” katanya ketika berucap pada Fiesta Muzikal dan Kesenian Deepavali 2024 di Little India Brickfields di sini, malam tadi.
Program tersebut yang bermula semalam hingga Rabu adalah anjuran Persatuan Aduan Rakyat Malaysia.
Sementara itu, beliau turut menyarankan kepada peniaga komuniti India agar meningkatkan perniagaan masing-masing melalui penggunaan platform digital.
“Kalau dahulu pasaran hanya di sekeliling kita sahaja tetapi kalau gunakan platform digital kita akan dapat pasaran global yang lebih luas sekali gus dapat meningkatkan perniagaan ,” katanya. – Bernama