SIBU: Kampung Usahajaya Baru yang terletak di Jalan Sentosa, Salim amat memerlukan ketua kaum dan ketua masyarakat baharu untuk memudahkan urusan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, Kampung Usahajaya Baru adalah kawasan luas membabitkan bilangan penduduk yang ramai.
“Jawatan baharu diwujudkan ini adalah satu keperluan yang amat mendesak. Saya telah mencadangkan perkara ini kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Sebelum ini, saya telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan satu ketua kaum bagi komuniti Iban, satu jawatan penghulu dan penambahan satu lagi jawatan ketua kaum untuk komuniti Melayu/Melanau.
“Namun, cadangan itu belum diluluskan lagi tetapi saya akan mengikuti rapat perkembangannya,” katanya pada Sesi Dialog Masyarakat Bersama Agensi-agensi Kerajaan yang berlangsung di SK Sentosa, Kampung Usahajaya Baru di Jalan Sentosa, Salim, hari ini.
Sesi dialog itu dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Usahajaya Baru dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN N.51 Bukit Assek dan Pusat Khidmat DUN N.52 Dudong.
Beliau berkata, sesi dialog ini memberi peluang kepada pihak terlibat untuk mendengar pandangan, cadangan, dan aduan secara langsung daripada masyarakat.
“Saya percaya program sebegini wajar diadakan secara berkala, malah lebih baik jika dijadikan acara tahunan.
“Ini kerana ia merupakan landasan terbaik untuk menyuarakan masalah dihadapi penduduk, di samping membolehkan masyarakat mengenali wakil-wakil agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam memberi perkhidmatan kepada mereka,” katanya.
Beberapa agensi kerajaan turut serta dalam sesi tersebut termasuk Majlis Perbandaran Sibu, Jabatan Pengairan dan Saliran Sibu, Jabatan Tanah dan Survei Sibu, Pejabat Daerah Sibu, Pejabat Residen Sibu, Sesco, Lembaga Air Sibu, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu.
Turut hadir ialah wakil ADUN Dudong Dato Sri Tiong King Sing iaitu Mike Yong, Ketua Kampung Usahajaya Baru Ketua Kaum Mohamad Ali Serani serta wakil-wakil dari agensi kerajaan yang lain.
Oleh AKUN GIMAN