SIBU: Sebanyak 31 motosikal dan 37 individu diperiksa dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, operasi bersepadu itu yang bermula mulai jam 4 petang hingga 8 malam, melibatkan 23 anggota dan dijalankan di kawasan Sibu Jaya, Kemuyang dan Permai.
“Pihak polis mengeluarkan 54 saman atas pelbagai kesalahan, termasuk ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, dan penggunaan nombor plat tidak mengikut peraturan,” katanya dalam kenyataan menerusi facebook rasmi IPD Sibu, hari ini.
Katanya, operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Tiada tangkapan atau rampasan dibuat, dan cuaca yang baik membantu kelancaran tugas di lapangan.
“PDRM Sibu menekankan pentingnya operasi ini untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kegiatan samseng jalanan di daerah ini,” tegasnya.