ISTANBUL: Rundingan gencatan senjata Gaza dijangka disambung semula dalam beberapa hari akan datang, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.
Bercakap pada sidang media di Doha dengan Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdelrahman Al Thani, Blinken berkata para perunding Gaza akan berkumpul “dalam masa terdekat.”
“Kami bercakap tentang pilihan untuk memanfaatkan masa ini dan langkah seterusnya untuk menggerakkan proses ke hadapan, dan saya menjangkakan bahawa para perunding kami akan berkumpul dalam beberapa hari akan datang”, tambahnya.
Diplomat tertinggi AS itu menyatakan bahawa Washington “menentang sebarang percubaan untuk mengenakan kepungan dan membiarkan penduduk Gaza kelaparan.” Beliau turut mengumumkan sebanyak AS$135 juta bantuan kemanusiaan untuk wilayah Palestin itu.
Tentera Israel meneruskan serangan dahsyatnya di Semenanjung Gaza sejak Oktober tahun lalu, walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menuntut gencatan senjata segera.
Lebih 42,800 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 100,500 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Usaha pengantaraan yang diketuai AS, Mesir dan Qatar untuk mencapai persetujuan gencatan senjata Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas telah gagal kerana keengganan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menghentikan perang.
Serangan Israel ke atas Gaza menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan yang telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk.
Israel menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza. – Bernama