ISTANBUL: Qatar Airways menggantung sementara dua laluan serantau pada Khamis, menurut Agensi Anadolu.
“Susulan situasi semasa di rantau Timur Tengah, Qatar Airways menggantung sementara penerbangan ke dan dari Iran dan Lubnan sehingga diberitahu kelak,” menurut syarikat penerbangan itu dalam satu makluman perjalanan.
Syarikat penerbangan itu meyakinkan penumpang bahawa penerbangan ke Jordan dan Iraq akan terus beroperasi “pada waktu siang.”
“Kami memantau keadaan dengan teliti dan akan memberikan kemas kini jika perlu,” menurutnya.
Langkah itu diambil ketika ketegangan di rantau itu meningkat, mendorong syarikat penerbangan untuk menilai semula operasi mereka.
Ketegangan meningkat susulan serangan kejam besar-besaran Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang meragut lebih 42,800 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Konflik itu merebak ke Lubnan, dengan Israel melancarkan serangan maut di seluruh negara itu, meningkatkan ketegangan rentas sempadan yang berlanjutan selama setahun antara Israel dan kumpulan itu sejak serangan di Gaza bermula. – Bernama