BETONG: Seisi keluarga terkejut apabila seekor biawak berukuran tiga kaki panjang masuk ke dalam rumah mereka di Kampung Baru, Spaoh di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian 6.00 pagi hari itu, ketika salah seorang ahli keluarga hendak melakukan urusan harian rumah, terkejut didatangi biawak tersebut yang dikatakan masuk ke rumah kediaman mereka
Salah seorang ahli keluarga terbabit kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menangkap reptilia itu.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada salah seorang ahli keluarga terbabit yang memaklumkan dia bersama ahli keluarga yang lain terkejut selepas seekor biawak masuk ke dalam rumah mereka.
“Sebaik sahaja panggilan diterima, kita segera menghantar pasukan Bravo APM Spaoh ke lokasi untuk menangkap biawak tersebut.
“Setelah berjaya menangkap haiwan liar tersebut melalui kaedah menjerut, biawak itu kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah APM di sini,” katanya.
Para petugas, katanya lagi, turut membuat pemeriksaan di sekitar kediaman pengadu.
Siti pada masa sama berharap agar penduduk Spaoh lebih peka terhadap persekitaran masing-masing dan segera menghubungi APM di talian 083-473006 untuk memohon pertolongan bagi menangkap haiwan liar.
Oleh Valentine Ngumbang