SIMANGGANG, 20 Oktober: Kompleks Sukan Sri Aman bakal menjadi tumpuan orang ramai apabila Program Sarawakku Sayang 2026 berlangsung selama tiga hari, dari 30 Oktober hingga 1 November ini. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan, hiburan dan kebudayaan disediakan, selain tawaran hadiah menarik kepada pengunjung.
Program bertemakan “Jaga Sarawak, Intu Sarawak” itu menghimpunkan pelbagai pengisian bagi mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, di samping memupuk perpaduan, memelihara warisan budaya dan menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
Antara pengisian utama program ialah pameran pembangunan Sarawak, kaunter perkhidmatan kerajaan, aktiviti digital dan inovasi, keusahawanan, pendidikan, pembangunan modal insan, kesihatan, sosial dan kebajikan, serta perkhidmatan berkaitan bayaran.
Penganjuran program itu turut memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat dan mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi.
Pengunjung juga berpeluang menikmati Malam Budaya Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober, 8.00 malam. Acara itu bakal menampilkan persembahan bertemakan Sarawak Harmoni, Warisan Etnik dan Gendang Bermukun.
Antara artis yang dijadualkan membuat persembahan ialah Sri Aman Project Band, Adellynna Yang, DJ Reenaz, DJ Sonic, Roxy Ixzy, Olivia Christie, Mawat dan Firdaus Materang.
Kemuncak hiburan diteruskan menerusi Konsert Rakyat pada 31 Oktober, 8.00 malam, yang menampilkan barisan artis termasuk Band D’Jaksa, Yadee, Iwan Dasri, Raquel Then, Dygku Fadzillah, Mellissa Francis, Baby Shima dan Bob Yusof.
Konsert berkenaan dijangka menambahkan kemeriahan program menerusi persembahan muzik yang dapat dinikmati oleh masyarakat daripada pelbagai lapisan.
Selain acara hiburan, program itu turut menampilkan Sri Aman Kitchen & Sales yang berlangsung sepanjang tiga hari penganjuran, dari 30 Oktober hingga 1 November, dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan serta produk keluaran usahawan tempatan.
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan sukan turut dijadualkan sepanjang program berlangsung. Majlis perasmian pula akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 31 Oktober, 9.00 pagi.
Lebih menarik, pengunjung berpeluang menyertai cabutan e-peraduan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk sebuah kereta Perodua Bezza, motosikal Yamaha Ego Avantiz 125cc dan Modenas Kriss MR3 110cc. Hadiah lain termasuk barangan elektrik rumah serta barangan kemas seperti loket, gelang dan rantai emas 916.
Program itu dijadualkan melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penangguhan pada 1 November, 4.00 petang, sekali gus menjadikan Sarawakku Sayang 2026 antara acara yang dinanti-nantikan oleh masyarakat di Sri Aman dan kawasan sekitarnya.
Oleh Adi Safarman



