KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menyasarkan untuk menubuhkan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh Sarawak menjelang 2030.
Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam berkata dalam usaha mencapai sasaran tersebut, NREB meletakkan sasaran untuk menubuhkan 700 Kelab PALS pada tahun hadapan.
Menurutnya, setakat ini sejumlah 484 Kelab PALS telah ditubuhkan.
“Pada 2026, kita menyasarkan untuk menubuhkan 900 Kelab PALS, 1,100 pada 2027, 1,300 kelab pada 2028, 1,400 pada 2029 dan 1,461 menjelang 2030.
“Selain itu, bagi tujuan mengadakan aktiviti serta program, NREB turut bercadang untuk memperuntukkan sebanyak RM2,000 untuk setiap Kelab PALS setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak (HASN) 2024 di Dewan Majma Tunku Abd Halim Mu’adzam Shah, di sini, hari ini.
Sambutan HASN 2024 telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menjelas lanjut, bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, katanya NREB memerlukan dana berjumlah RM13.7 juta bagi melaksanakan program tersebut.
Program tersebut katanya akan memberi manfaat kepada anggaran seramai 187,685 pelajar di seluruh negeri.
“Pihak kami juga mengalu-alukan sumbangan badan-badan korporat bagi menyumbang dalam bentuk kewangan dan jadikan Kelab PALS sebagai ‘anak angkat’ di mana-mana sekolah dalam jangka masa panjang.
“Ini adalah untuk memastikan kelab tersebut kekal aktif serta mencapai objektif serta mencapai objektif mewujudkan generasi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Pada majlis sama, Abang Johari turut menyaksikan penyerahan cek bagi Program Sekolah Angkat Kelab PALS dari empat organisasi iaitu Press Metal (Bintulu) Sdn Bhd, Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd, Chemsain Konsultants Sdn Bhd dan Thian Sheng Sdn Bhd.
Oleh RYNNA SHA’ERRA