SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kecewa terhadap tindakan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) yang menjadikan penyingkiran pondok pengawal keselamatan di Pulau Li Hua sebagai syarat untuk membaiki jalan berlubang dan menyelenggara infrastruktur di kawasan tersebut.
Tiong, yang juga merupakan Ahli Parlimen Bintulu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, menegaskan bahawa tanggungjawab utama MPS dan ahli majlis adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.
Justeru, beliau mengingatkan bahawa menggunakan alasan teknikal, seperti melabelkan pondok pengawal sebagai “struktur haram,” adalah tidak wajar, kerana ia mengabaikan kebimbangan keselamatan dan mendedahkan penduduk kepada risiko yang tidak perlu.
“Pondok pengawal tersebut dibina oleh penduduk sebagai langkah keselamatan ketika Pulau Li Hua menghadapi masalah jenayah seperti kecurian kereta, penyalahgunaan dadah dan lumba haram,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tiong memaklumkan bahawa sejak 2017, komuniti Pulau Li Hua telah melabur hampir RM200,000 setahun untuk mengekalkan langkah keselamatan tersebut.
Tiong juga menekankan bahawa penduduk membayar cukai tahunan dan adalah tanggungjawab pihak berkuasa untuk menyelenggara infrastruktur.
“Sebelum ini, kenderaan perkhidmatan dapat memasuki kawasan untuk kerja penyelenggaraan, namun kini MPS mendakwa kenderaan tidak boleh masuk dan pondok tersebut melanggar peraturan tempatan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Tiong mencadangkan agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Li Hua melaporkan operasi mereka kepada pihak polis tempatan dan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan kenderaan bomba dapat mengakses kawasan tersebut dalam situasi kecemasan.
Menurutnya, sejak penubuhan pondok pengawal pada 2017, kadar jenayah di kawasan itu dilaporkan menurun kepada sifar, membuktikan keberkesanan inisiatif tersebut.
“Komuniti juga merancang untuk memasang sistem pengawasan yang lebih lengkap bagi meningkatkan keselamatan,” jelasnya.
Tiong mengakui bahawa MPS mungkin bertindak mengikut undang-undang, tetapi menekankan pentingnya pendekatan “rakyat didahulukan” oleh kerajaan Sarawak.
“Penduduk telah mengambil inisiatif perlindungan diri tanpa membebankan kerajaan, dan kadar jenayah sifar patut dipuji,” tambahnya.
Tiong berharap isu ini dapat diselesaikan sebelum sesi dialog dengan penduduk Pulau Li Hua bulan depan dan mengingatkan semua ahli majlis, terutamanya dari Parti Demokratik Progresif (PDP), tentang tanggungjawab mereka untuk berkhidmat kepada rakyat serta menghindari penyalahgunaan kuasa.
“Jika ada ahli PDP didapati bersalah atas salah laku, parti saya akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” tegasnya.
Oleh Tarani Lanting