BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu menahan sebuah bot tunda dan tongkang yang disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Tangkapan dilakukan ketika kedua-dua vesel itu sedang dalam perjalanan menuju perairan Bintulu dari Bintangor, pada jarak lebih kurang 3 batu nautika barat laut Kuala Kemena, sekitar jam 3.25 petang tadi.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda itu dikendalikan oleh lima kru termasuk seorang nakhoda warga Myanmar, dua warga Indonesia, seorang warga India, dan seorang warga tempatan berusia antara 29 hingga 44 tahun.
“Bot tunda itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah MSO 1952, iaitu tidak memaklumkan secara bertulis kepada pendaftar kapal berhubung pertukaran nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal yang memperuntukkan hukuman kompaun sebanyak RM2,500,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bot tunda dan kru telah ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
“Sebarang maklumat, aduan, dan insiden kecemasan boleh dilaporkan ke Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254, Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544), atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.