SIBU, 7 November: Tindakan pantas polis berjaya membawa kepada penahanan sembilan individu berusia antara 16 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dalam kejadian pergaduhan di bandar ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Sibu hasil risikan dan siasatan yang dijalankan antara 10.00 pagi hingga 4.00 petang tadi.

“Pihak kita menerima laporan polis berhubung kejadian ini kira-kira 2.00 pagi tadi. Dalam kejadian ini, seorang lelaki telah meninggal dunia dipercayai akibat ditikam menggunakan senjata tajam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sibu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan diterima, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menjalankan siasatan lanjut serta mengesan individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
“Hasil risikan dan siasatan, polis berjaya menahan sembilan suspek pada hari sama bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Oleh Akun Giman





