SIMUNJAN: Dua warga emas maut manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Pelaie di sini, hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut pada 2.42 petang tadi.
Katanya, kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) yang membawa 10 orang penumpang telah terbalik sekali gus menyebabkan dua mangsa tersepit di bawah kenderaan tersebut.
“Blayau Datu, 83 tahun dan Awang Pupon, 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Munggu Lalang.
“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas. Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada 5 petang, diikuti mangsa kedua lima minit kemudian,” katanya.
Dalam pada itu, mangsa cedera ringan telah dibawa oleh orang awam ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan, manakala lima penumpang lain dilaporkan selamat.
Operasi menyelamat melibatkan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dan BBP Serian serta bantuan pasukan perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM).