Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Penjara ajar ‘Abah Hayat’ kenal diri, kenal Allah
  • NASIONAL

Penjara ajar ‘Abah Hayat’ kenal diri, kenal Allah

Utusan Sarawak 7 months ago
BEKAS banduan hayat, Khairul Anuar Zakaria menyifatkan meringkuk di penjara lebih 23 tahun merupakan pengalaman ‘berharga’ buatnya, kerana di situlah dia belajar mengenal diri serta Allah, justeru menjadikannya insan yang lebih baik pada hari ini. FotoBERNAMA

ALOR SETAR: Bekas banduan sepanjang hayat Khairul Anuar Zakaria menyifatkan meringkuk lebih 23 tahun di penjara, memberikan pengalaman ‘berharga’ kerana beliau berpeluang belajar mengenal diri untuk menjadi insan yang lebih baik pada hari ini.

Khairul Anuar, 64, yang mesra dengan jolokan Abah Hayat berkata beliau sudah mula mengenali Allah dan mampu berkongsi ilmu dengan orang lain hasil didikan guru agama di penjara.

“Jika dilihat secara tersurat penjara adalah satu bentuk hukuman berat kepada mereka yang melakukan kesalahan, namun terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu menjadi lebih baik atau sebaliknya.

“Di penjara banduan dibenarkan belajar pelbagai ilmu, mohon buku-buku untuk dibaca, ada guru-guru yang sedia membantu, jadi abah gunakan peluang itu untuk menambah ilmu agama dan keluarga juga memberi sokongan padu dari luar,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Hasan, Bukit Pinang dekat sini.

MESRA dengan jolokan Abah Hayat, lelaki berusia 64 tahun itu berkata penjara dilengkapi dengan gedung ilmu serta tenaga pendidik yang cukup untuk membentuk kembali jiwa insan yang tersasar dari landasan kehidupan, namun itu hanya mampu dimanfaatkan jika banduan itu sendiri mahu berubah.

Abah Hayat berkata sebelum dibebaskan dari Penjara Pokok Sena pada 3 Okt, beliau sudah mempersiapkan diri untuk kembali ke pangkuan masyarakat, dan berhasrat membimbing golongan muda supaya tidak terjebak dalam kancah jenayah yang akhirnya akan memusnahkan masa depan mereka.

“Semasa di dalam penjara, abah diberi tugas sebagai pembantu murabbi dan abah jumpa ramai banduan muda berusia 20-an terjebak dengan jenayah. Abah sedih melihat anak bangsa abah jadi begitu dan lebih sedih bila ada yang dah keluar tapi masuk semula ke penjara.

“Abah tak salahkan mereka sepenuhnya, kerana abah akui bukan mudah bekas banduan ini nak diterima masyarakat, abah sendiri sedang lalui situasi ini, dan ia amat sukar sekali terutama bagi yang tidak tahan dengan dugaan,” katanya.

Abah Hayat berkata beliau sememangnya melakukan kesalahan sangat besar, namun telah menjalani hukuman yang ditetapkan para hakim yang arif dan kehidupan di penjara sudah cukup memberi pengajaran hebat kepadanya.

Ditanya mengenai harapan, Abah Hayat berkata beliau mahu menonjolkan diri agar lebih dikenali, supaya kisahnya dapat dijadikan pengajaran dan bersedia dijemput oleh mana-mana pihak untuk berkongsi pengalaman, kerana percaya dengan cara itu beliau dapat membantu masyarakat.

Abah Hayat berkata buat masa ini beliau aktif membuat perkongsian di laman sosial TikTok dengan bantuan anak-anak yang memberikan sokongan penuh terhadapnya, untuk meneruskan tugas sebagai murabbi walaupun sudah berada di luar penjara.

Pada 2008, Abah Hayat dijatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah membunuh seorang tukang besi dengan tubuh mangsa dikerat lapan bahagian, sebelum mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah pada Mei 2018 dan status banduan akhir berubah kepada banduan hayat.

Pada Februari 2024, kesnya dibawa semula ke Mahkamah Alor Setar kerana kerajaan telah memansuhkan hukuman hayat ke atas semua banduan dan hukumannya digantikan dengan penjara selama 35 tahun daripada tarikh tangkap pada 2001. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Kadar gaji minimum RM1,700 terpakai untuk pekerja asing
Next: Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Prabowo Subianto

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.